Monday, July 19, 2010

Harimau Muda akan ke Slovakia lagi?


Utusan Malaysia :

KELANA JAYA - Kesudian badan pengurusan bola sepak Slovakia untuk terus memberi peluang kepada skuad Harimau Muda A beraksi dalam liga negara itu memberi perkhabaran gembira buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pihaknya sangat teruja dengan pelawaan Slovakia, sekali gus membuktikan kehadiran skuad negara dalam liga domestik mereka diterima baik.
Malah katanya, Slovakia sanggup menunda sepak mula liga tersebut, seminggu lewat bagi memberi peluang kepada skuad negara beraksi di sana.

"Liga di Slovakia sepatutnya bermula pada 17 Julai lalu, namun demi memberi peluang kepada skuad negara beraksi, liga tersebut ditunda seminggu lagi.

"Ia merupakan satu perkhabaran hebat kepada FAM dan kami sangat berbesar hati dengan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh negara tersebut bagi membantu sukan bola sepak Malaysia.

"Penundaan tarikh adalah bertujuan untuk memberi skuad negara peluang beraksi di sana," katanya.
Walaupun memberi bayangan aksi dalam liga Slovakia hampir pasti berlaku, namun Redzuan menegaskan keputusan muktamad mengenai kedudukan skuad muda negara itu belum diputuskan.

Katanya, masih ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan dibincangkan sebelum memutuskan mengenai masa depan Harimau Muda, biarpun mengakui mereka berpotensi besar apabila beraksi di Slovakia.

"Keputusan masih belum dicapai, tetapi secara peribadi, skuad Harimau Muda mempunyai peluang yang sangat besar untuk beraksi di Slovakia.

"Liga tersebut mempunyai dua fasa. Bagi fasa pertama, ia bakal berlangsung selama tiga bulan, sebelum fasa kedua bermula pada Februari tahun depan.

"Bagi skuad Harimau Muda B pula, mereka akan terus beraksi dalam Liga Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut, Redzuan berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah menyatakan persetujuan untuk membantu menampung perbelanjaan skuad tersebut di sana.

Jelasnya, FAM akan memperincikan lagi jumlah perbelanjaan di Slovakia dan akan mengemukakannya kepada dua pihak tersebut.

Tambahnya, selepas menerima perincian tersebut, ia terpulang kepada KBS dan MSN untuk menetapkan jumlah yang mahu diberikan.

Redzuan bagaimanapun menolak kemungkinan bahawa skuad itu akan menerima tanggungan penuh daripada dua pihak tersebut.

Apa kejadah la mahu pergi Slovakia lagi. Baik bebeno Slovakia sanggup tangguh Liga semata-mata untuk memberi peluang kepada Harimau Muda beraksi. Dari hantar ke Slovakia, hantar la dulu ke Asia ni. Korea Selatan, Korea Utara, Jepun dan Iran. Ini semua pernah beraksi di Piala Dunia. Yang sibuk nak hantar pergi Slovakia tu buat apa?!..Dengan coach pun direhatkan. Nak berlatih guano?!..Mengong..